Assalamua’laikum dan Salam sejahtera,
Tatkala baris kata
kuungkapkan satu persatu di ruangan ini, puteri dan puteraku sedang diulit
mimpi nan indah di rumah ibuku di Ipoh. Hampir 2 minggu diriku di sini,
meneruskan pantang yang masih berbaki 2 minggu lagi. Hmm… kali ini pantangku
berlainan daripada biasa. Kenapa yer???
Begini ceritanya…
Sewaktu diriku
menunggu tarikh keramat itu, diriku sudah memperlengkapkan diri dengan
seadanya. Berbekalkan doa suami,mak,kak mek,adik2, keluarga mertua dan
rakan-rakan, aku kuatkan semangat. Tidak sabar rasanya menunggu saat itu.
Namun, apabila
sampai waktu yang dinanti, diriku masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk
bersalin. Malah diriku masih mampu melakukan kerja di rumah seperti biasa.
Cuma, diriku sudah mengambil cuti bersalin 3 hari sebelum tarikh yang dijangka.
Pada tarikh tersebut, diriku pergi ke hospital bersama dengan suamiku mengenai
perihal tersebut. Dan diriku diberi tempoh 10 hari.
2
September 2013 (Isnin)
Cukup 10 hari, kami
kembali ke hospital yang sama. Ramai juga pesakit yang senasib dengan diriku.
Malah ada juga yang hamper untuk bersalin. Aku menjadi sedikit gugup, berlainan
sewaktu diriku untuk bersalinkan puteriku dahulu. Doktor perempuan cina datang
memeriksa kandunganku yang sememangnya sudah lewat dari tarikhnya. Dia
memeriksa pintu rahimku. Baru terbuka 1
cm. Pada hari itu juga diriku di masukkan ke wad selama 1 hari. Di situ, ada
juga yang telah dahulu menghuni wad berkenaan, malah ada yang mengaduh sakit
tapi masih boleh bertahan kesan dari ‘contraction’ rahim, sehingga mencapai
bukaan yang sepatutnya…7cm ke atas. Suamiku setia menemaniku di waktu-waktu
melawat. Dia ada juga membelikanku roti gardenia, roti john dan air soya
sepeninggalan dirinya untuk pulang ke rumah.
3
September 2013 (Selasa)
Pagi ini, jam
menunjukkan 8.30pagi, doktor lelaki, namanya Dr. Yazid ada masukkan sejenis
ubat ke dalam vaginaku iaitu ubat untuk merangsang ‘contraction’. Diriku
dinasihati untuk berbaring selama 1 jam selepas itu. Dalam jam 11 pagi, diriku
mulai merasakan sakit di bahagian bawah selang 5 minit. Diriku masih boleh
bertahan…Ya Allah, Engkau Permudahkanlah urusan-Mu…
Sewaktu suamiku
datang melawat dalam jam 12.30tgh, diriku merasakan kesakitan yang amat sangat
sewaktu jururawat datang untuk membuat CGI pada perutku (pemeriksaan gerak nadi
bayi). Lalu, jururawat tersebut menutup tirai untuk memeriksa pintu rahimku. Ya
Allah, ngilu rasanya……hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ternyata pintu rahimku
terbuka 4cm..
Lantas, diriku
dibawa ke ‘labor room’ untuk proses bersalin. Di sana, diriku berhadapan dengan
situasi yang benar-benar menguji keimananku. Diriku mengucap panjang, tatkala
doktor mengatakan diriku tidak boleh bersalin secara normal disebabkan ‘fetal
distress’ (nadi anak yang semakin lemah). Ini bermakna diriku bakal berhadapan
dengan pembedahan ceaserian yang diriku tidak menyangka akan menghadapinya
seketika nanti. Suamiku juga menerimanya dengan tenang, sambil mendoakan diriku
agar selamat semuanya… insya-Allah.
Diriku dibius
separuh badan, dari pinggang hingga ke hujung kaki. Selepas itu, diriku
langsung tidak bermaya. Hanya dapat merasakan torehan demi torehan dilakukan ke
atas perutku. Seketika terbau hangit, kesan laser untuk menoreh lapisan demi
lapisan dalam perutku. Diriku hanya mampu memandang ke arah lampu yang
menyaksikan segalanya pada hari tu.
Diriku dapat
merasakan ‘mereka’ menekan perutku…dan detik jam 3.04ptg, kedengaran suatu
suara yang tidak asing lagi. Itulah suara yang kutunggu-tunggu selama 9 bulan
ini. Hampir 10 minit, barulah diriku dapat melihat wajahnya, tatkala jururawat
menghalakannya ke kepalaku yang masih terbaring lesu.
Bayiku lelaki…
kuhadiahkan kucupan kasih sayang buat dirinya. Hampir menangisku ketika itu,
namun dapatku menahan sebak di dada. Suamiku menyambut bayiku di luar wad bedah
dengan perasaan syukur. Namun, proses pembedahan masih belum selesai…
Dari jam 2 ptg
sehinggalah ke jam 5 ptg, barulah diriku ditolak dari bilik pembedahan dengan
wajah yang sungguh lesu. Kepenatan. Aku tersenyum melihat suamiku setia
menunggu di luar. Alhamdulillah…syukur pada-Mu Ya Allah.
5
September 2013 (Khamis)
Diriku ditahan di
wad lebih kurang 3 hari. Pada waktu petangnya, diriku dibenarkan pulang ke
rumah.
Alhamdulillah,
biarpun 1 minggu yang pertama ini kurasakan perit menanggung kesakitan dek
jahitan dan juga luka dalaman, namun diriku bersyukur kerana selamat melahirkan
anakku yang ke-2 ini.
Kini, puteraku
sudah hampir berumur 1 bulan.
Syukur pada-Mu Ya
Allah kerana telah memberiku peluang untuk melahirkan anakku yang ke-2 ini. Alhamdulillah,
kerana kami dianugerahkan sepasang cahayamata yang menjadikan rumah tanggaku
bertambah seri. Ibu doakan agar anak-anak ibu menjadi insan yang berguna suatu
masa nanti. Insya-Allah.
Yang
benar,
Hasimah
Ismail
No comments:
Post a Comment