Wednesday, October 9, 2013



Assalamua’laikum  dan Salam sejahtera,
Tatkala baris kata kuungkapkan satu persatu di ruangan ini, puteri dan puteraku sedang diulit mimpi nan indah di rumah ibuku di Ipoh. Hampir 2 minggu diriku di sini, meneruskan pantang yang masih berbaki 2 minggu lagi. Hmm… kali ini pantangku berlainan daripada biasa. Kenapa yer???
Begini ceritanya…

Sewaktu diriku menunggu tarikh keramat itu, diriku sudah memperlengkapkan diri dengan seadanya. Berbekalkan doa suami,mak,kak mek,adik2, keluarga mertua dan rakan-rakan, aku kuatkan semangat. Tidak sabar rasanya menunggu saat itu. 

Namun, apabila sampai waktu yang dinanti, diriku masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin. Malah diriku masih mampu melakukan kerja di rumah seperti biasa. Cuma, diriku sudah mengambil cuti bersalin 3 hari sebelum tarikh yang dijangka. Pada tarikh tersebut, diriku pergi ke hospital bersama dengan suamiku mengenai perihal tersebut. Dan diriku diberi tempoh 10 hari.

2 September 2013 (Isnin)
Cukup 10 hari, kami kembali ke hospital yang sama. Ramai juga pesakit yang senasib dengan diriku. Malah ada juga yang hamper untuk bersalin. Aku menjadi sedikit gugup, berlainan sewaktu diriku untuk bersalinkan puteriku dahulu. Doktor perempuan cina datang memeriksa kandunganku yang sememangnya sudah lewat dari tarikhnya. Dia memeriksa pintu rahimku.  Baru terbuka 1 cm. Pada hari itu juga diriku di masukkan ke wad selama 1 hari. Di situ, ada juga yang telah dahulu menghuni wad berkenaan, malah ada yang mengaduh sakit tapi masih boleh bertahan kesan dari ‘contraction’ rahim, sehingga mencapai bukaan yang sepatutnya…7cm ke atas. Suamiku setia menemaniku di waktu-waktu melawat. Dia ada juga membelikanku roti gardenia, roti john dan air soya sepeninggalan dirinya untuk pulang ke rumah.

3 September 2013 (Selasa)
Pagi ini, jam menunjukkan 8.30pagi, doktor lelaki, namanya Dr. Yazid ada masukkan sejenis ubat ke dalam vaginaku iaitu ubat untuk merangsang ‘contraction’. Diriku dinasihati untuk berbaring selama 1 jam selepas itu. Dalam jam 11 pagi, diriku mulai merasakan sakit di bahagian bawah selang 5 minit. Diriku masih boleh bertahan…Ya Allah, Engkau Permudahkanlah urusan-Mu…

Sewaktu suamiku datang melawat dalam jam 12.30tgh, diriku merasakan kesakitan yang amat sangat sewaktu jururawat datang untuk membuat CGI pada perutku (pemeriksaan gerak nadi bayi). Lalu, jururawat tersebut menutup tirai untuk memeriksa pintu rahimku. Ya Allah, ngilu rasanya……hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ternyata pintu rahimku terbuka 4cm..

Lantas, diriku dibawa ke ‘labor room’ untuk proses bersalin. Di sana, diriku berhadapan dengan situasi yang benar-benar menguji keimananku. Diriku mengucap panjang, tatkala doktor mengatakan diriku tidak boleh bersalin secara normal disebabkan ‘fetal distress’ (nadi anak yang semakin lemah). Ini bermakna diriku bakal berhadapan dengan pembedahan ceaserian yang diriku tidak menyangka akan menghadapinya seketika nanti. Suamiku juga menerimanya dengan tenang, sambil mendoakan diriku agar selamat semuanya… insya-Allah.

Diriku dibius separuh badan, dari pinggang hingga ke hujung kaki. Selepas itu, diriku langsung tidak bermaya. Hanya dapat merasakan torehan demi torehan dilakukan ke atas perutku. Seketika terbau hangit, kesan laser untuk menoreh lapisan demi lapisan dalam perutku. Diriku hanya mampu memandang ke arah lampu yang menyaksikan segalanya pada hari tu.

Diriku dapat merasakan ‘mereka’ menekan perutku…dan detik jam 3.04ptg, kedengaran suatu suara yang tidak asing lagi. Itulah suara yang kutunggu-tunggu selama 9 bulan ini. Hampir 10 minit, barulah diriku dapat melihat wajahnya, tatkala jururawat menghalakannya ke kepalaku yang masih terbaring lesu.
Bayiku lelaki… kuhadiahkan kucupan kasih sayang buat dirinya. Hampir menangisku ketika itu, namun dapatku menahan sebak di dada. Suamiku menyambut bayiku di luar wad bedah dengan perasaan syukur. Namun, proses pembedahan masih belum selesai…

Dari jam 2 ptg sehinggalah ke jam 5 ptg, barulah diriku ditolak dari bilik pembedahan dengan wajah yang sungguh lesu. Kepenatan. Aku tersenyum melihat suamiku setia menunggu di luar. Alhamdulillah…syukur pada-Mu Ya Allah.   

5 September 2013 (Khamis)
Diriku ditahan di wad lebih kurang 3 hari. Pada waktu petangnya, diriku dibenarkan pulang ke rumah.
Alhamdulillah, biarpun 1 minggu yang pertama ini kurasakan perit menanggung kesakitan dek jahitan dan juga luka dalaman, namun diriku bersyukur kerana selamat melahirkan anakku yang ke-2 ini.
Kini, puteraku sudah hampir berumur 1 bulan.

Syukur pada-Mu Ya Allah kerana telah memberiku peluang untuk melahirkan anakku yang ke-2 ini. Alhamdulillah, kerana kami dianugerahkan sepasang cahayamata yang menjadikan rumah tanggaku bertambah seri. Ibu doakan agar anak-anak ibu menjadi insan yang berguna suatu masa nanti. Insya-Allah.

Yang benar,
Hasimah Ismail