Saturday, February 21, 2009

CINTA DATANG DAN MUDAH PERGI...


Setiap insan yang terpilih, merasakan perasaan cinta dan kasih sayang. Ia diibaratkan sebagai 1 anugerah daripada Allah SWT untuk merasainya. Perasaan cinta bukan hanya kepada individu, malah perasaan tersebut juga yakni, perasaan cinta kita kepada Yang Satu iaitu Allah Yang Maha Esa haruslah melebihi segala-galanya. Hal ini kerana, dengan cinta dan kasihnya kita kepada-Nya, secara tidak langsung perasaan cinta akan mulai terbit kepada perkara lain secara semulajadinya...

Namun, sekiranya cinta itu memilih untuk pergi jua, usahlah ditangisi pemergiannya. Lepaskanlah ia dengan hati yang sabar dan ketaqwaan yang utuh. Anggaplah ia sebagai salah satu ujian dalam mematangkan diri kita sebagai manusia...

Dan... Sekiranya cinta itu memilih untuk berada di hati kita, berikanlah ia kepada insan yang benar-benar menghargainya. Sayangilah ia dengan hati yang ikhlas, terimalah dirinya dengan seadanya sebagai satu amanah yang dianugerahkan Allah kepada kita agar tidak mensia-siakan kehadirannya dalam hidup kita... Bersyukurlah kerana ada insan yang berjaya singgah di hati kita...

Wassalam.
(12.30am)

Wednesday, February 4, 2009

CERPEN


CERPEN ; CINTA NUR KASIH

PEREMPUAN... Terlalu banyak rahsia dirimu yang perlu diselami dan dirungkai satu-persatu oleh insan yang bergelar LELAKI. Yang pasti, bukan mudah memiliki sekeping hati seorang dara yang bukan sahaja indah paras rupanya, malah elok budi pekertinya.

Dirimu ibarat ‘Sebutir permata di celahan kaca, kerdipnya sukar untuk dibezakan’.

Berulang kali dia mendengar alunan lagu ‘Nur Kasih’, nyanyian kumpulan In-Team. Spontan, wajah manis itu hadir dalam fikirannya, sejak kali pertama bertemunya di atas pertemuan yang tidak di sangka, namun dipertemukan dengan takdir Allah Yang Maha Esa.

Siapa dia? Sekali lagi dia menyoal dirinya sendiri.

Lantas, ada sesuatu yang dilakar pada kain kanvas putih itu. Hampir siap. Hasilnya amat membanggakan. Lakaran potret wajah seorang gadis yang berwajah lembut sambil menghadiahkan sekuntum senyuman ikhlas buatnya. Dia perasan ada suatu ‘pemanis’ di bawah kanan bibirnya. Dari situlah, jiwanya mula bergelora dek panahan cinta yang tidak bermata.

Fairizal mempercepatkan langkah untuk ke syarikat ayahnya, Datuk Ahmad Mokhtar Ilyas iaitu selaku Pengarah Penerbitan Penulisan Kreatif di Kuala Lumpur. Sempat dia mengerling jam tangan ‘silver’nya yang berjenama CASIQ, tanpa menyedari ada sesuatu di hadapannya.

Buk !

Habis semua buku yang dibawa Mashitah jatuh bertaburan di kaki lima kedai serbaneka itu. Bukan 1, tapi 4 buah semuanya. Boleh tahan tebalnya. Tapi, tiada riak marah terukir di wajahnya. Hanya perkataan ‘maaf’ terbit dari bibirnya walaupun bukan salahnya.

Dia ?

Pandangan mereka bertemu. Beberapa saat, lantas cepat-cepat Mashitah mengalihkan pandangannya ke arah lain. Jantungnya berdebar.

‘Astaghfirullah- Alazim... ‘ Istighfar Mashitah dalam hatinya.

Belum sempat Fairizal ingin bertanya dengan lebih lanjut, gadis itu pantas pergi dahulu setelah mengutip buku-bukunya.

‘Mungkin ada hal kot...’ Dia bemonolog dalam hatinya. Perasaan bersalah semakin bersarang di hatinya. Lidahnya kelu, walaupun hatinya meronta-ronta untuk berbicara. Namun, Fairizal berharap agar dapat bertemu kembali dengan gadis itu. Dia yakin akan pertemuan itu. Insya-ALLAH...

Fairizal mancapai sebuah novel yang menarik perhatiannya sejak semalam lagi. Boleh tahan tebalnya. Buku novel berwarna hijau pucuk pisang, warna kesukaannya.

Novel “CINTA NUR KASIH”, karya Maya Kaisara. Wanita. Hatinya terus tertumpu kepada insan yang ditemuinya tempoh hari.

CINTA NUR KASIH...

‘Seindah namanya yang terukir, menyimpan pelbagai jawapan yang meniti di bibir seorang insan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dengan sekeping hati dan perasaan. Sekiranya cinta itu meminta untuk dikongsi, terimalah dengan seadanya dan menjaganya sebagai SATU amanah Allah tidak seharusnya disia-siakan kehadirannya dalam hidup seseorang.’

‘Bersyukurlah...kerana dia lebih memilih dirimu untuk meminta izin sebelum singgah dan menetap di hatimu...’

“Macam mana pulak gambar Mashitah ada dalam bilik ni ?” tersentak Fairizal dari lamunannya pabila kakaknya menerjah masuk ke biliknya.

“Hah! Tu la...mengelamun, sampai orang beri salam pun tak berjawab.” Hasnira geli hati melihat adiknya yang cepat-cepat menyorokkan sesuatu darinya. Dia menggeleng.

“ Maaf kak, Tak perasan pun tadi. Waalaikumussalam... Siapa tadi akak cakap ?” Sengaja Fairizal bertanya kembali.

“ Akak cakap, ni gambar Mashitah, mana kamu dapat ? Oh... Curi-curi ambil gambar orang yer... Tau la orang tu minat melukis...” Hasnira sengaja mengusik adiknya.

“ Taklah... Saya melukis melalui gambaran hati saya, kak. Tak tahu pulak namanya Mashitah.” Fairizal buat-buat tak kisah, walaupun hatinya mula memekar dek mengetahui namanya.

“ La... Kamu tak kenal ke ? Dia kan kerja sekali dalam syarikat ayah. Seorang penulis... Orangnya baik, sopan-santun, berbudi bahasa. Hah! Bukunya yang laris di pasaran sekarang berjudul ‘ Cinta Nur Kasih’. Akak pun ada baca... “ Akaknya mula merungkaikan satu persatu jawapan yang dinantikannya, sekaligus merungkaikan persoalan yang hadir dalam dirinya.

Ternyata dunia ni kecil sahaja. ‘Maya Kaisara’ dan ‘Mashitah’, 2 nama berbeza dari individu yang sama, dan memiliki hati naluri yang sama. Fairizal bersyukur dan tidak sabar menanti hari esok pabila senja mula melabuhkan tirainya, tatkala azan Maghrib berkumandang.

Dia menyusuri kawasan yang sama, tempat perlanggarannya denga insan itu. Dia mencari wajah itu, tapi hampa. Akhirnya, dia melangkahkan kaki untuk terus ke pejabat ayahnya. Mana tahu kalau rezekinya, dapat berjumpa dengan insan tersebut.

Betul tekaannya. Sewaktu Fairizal mulai memasuki perut lif. Gadis itu ada juga.

“ Maya Kaisara, itu nama awak, kan ?, Gadis itu menoleh. Fairizal sengaja menyoalnya.

"Saya dah pun baca novel awak. Cantik, indah bahasanya.” Fairizal mula bersuara memecahkan kebisuan antara mereka.

“Saya Fairizal, saya kerja kat sini. Awak ?” Dia perasan gadis itu masih segan untuk berbicara dengannya. Ternyata wanita di sebelahnya itu mungkin lebih suka berbicara melalui penulisan. Dia membuat telahan sendiri.

“ Saya Mashitah. Gembira dapat berjumpa dengan awak. Saya pergi dulu yer. Jumpa lagi... Assalamua’laikum... “ Mashitah mula melangkah keluar dari perut lif saat pintunya terbuka di tingkat 3, Bahagian Penerbitan Karya. Emm... Akhirnya dia bersuara jua. Walaupun hanya beberapa saat, itulah yang dinantikannya.

Mashitah terkejut dengan sesuatu yang berada di atas mejanya. Ada sejambak bunga ros putih dan terselit sekeping kad yang comel. Dia tersenyum.

‘Assalamua’laikum...

Saya suka baca novel awak. Ternyata awak banyak menulis daripada berbicara, saya akuinya. Penulisan awak melambangkan diri awak yang sebenarnya. Izinkan saya untuk mengenali diri awak...’

Ikhlas,

Ahmad Fairizal.

Malam itu, hatinya tenang, setenang wajah yang mulai bertakhta di hatinya ketika itu. Entahlah, sama ada dia menyedari ataupun tidak, telah wujud suatu perasaan dalam dirinya yang sukar untuk diluahkan. Adakah dia benar-benar telah terkena panahan sinar permata yang dicari-carinya selama ini ? Namun, walaupun sinar itu mengenanya, belum bisa untuk dia mengambilnya takut-takut ada empunyanya.

“ Tak salah kan kita menyukai seseorang, walaupun tanpa pengetahuannya. Setiap manusia dianugerahkan Allah SWT dengan hati dan perasaan. Itu hak masing-masing, saling memiliki perasaan untuk menyintai dan dicintai. Kita berpeluang untuk meluahkan, tapi terpulanglah pada individu tersebut sama ada menerima ataupun tidak. Sesungguhnya, rezeki, jodoh pertemuan, ajal dan maut ketentuan-Nya.” Lembut kata-kata Hasnira. Fairizal mengerti.

“ Kenapa awak nak mengenali diri saya ? Saya tak sepadan dengan awak. Saya rasa awak lebih berhak untuk bertemu dengan insan yang lebih baik dari saya... “ Mashitah mula meluahkan apa yang dirasainya tatkala pertemuan mereka di Taman Tasik Titiwangsa. Itu sahaja peluang yang ada, selepas waktu kerja. Ramai orang yang datang ke situ.

Ternyata ada riak terkejut dari air muka Fairizal yang berwajah redup, namun masih terserlah ketampanannya.

“ Saya tak pandang itu semua. Sejak kejadian tersebut, saya merasakan ikatan jodoh itu ada dalam diri awak. Saya ikhlas untuk mengenali awak dengan cara yang sah. Kali pertama saya jumpa awak, saya dapat rasakan awaklah permata yang saya cari selama ini...” Mashitah memandangnya sekilas.

“... Dan izinkan saya bahagiakan awak. Bukankah awak juga pernah menulis, setiap wanita inginkan kebahagiaan, lebih-lebih lagi apabila bergelar seorang isteri di samping suaminya. Itulah kebahagiaan yang berpanjangan.” Spontan Fairizal meluahkan apa yang tersemat di sanubarinya. Alhamdulillah, dia berjaya meluahkannya di bawah payung keizinan Allah SWT.

Mashitah menyedari keikhlasan di hati lelaki itu. Ternyata pena yang sebatang berjaya mengorek rahsia hatinya melalui penulisan. Namun, kasih bukan sekadar cinta, ataupun hanya dilafazkan lelaui kata-kata untuk mencukupi syarat berkasih. Mashitah melemparkan pandangannya jauh-jauh ke tengah tasik yang tenang airnya.

Hati Fairizal berbelah bahagi. Di tangan kanannya ada sekeping sampul yang berisi sekeping gambar seseorang yang bakal mengisi ruang dalam hidupnya. Kata kakaknya, pihak perempuan telahpun menerimanya dengan rela hati.

‘ Ya Allah, sekiranya ini salah satu daripada ujian-Mu, aku redha. Sesungguhnya, segala pilihan-Mu adalah yang terbaik untuk diriku. Bukakanlah pintu hatiku untuk menerima kehadirannya dalam hidupku nanti... ‘ Fairizal pasrah dan beristighfar selesai mengerjakan solat fardhu Asar. Dia tunduk memandang sejadah seolah-olah wajah Mashitah terlukis di atasnya.

Berulang kali Fairizal menatap wajah yang tertera pada foto itu. Bemimpikah dia ?

Dia ?

Hasnira tersenyum melihat adiknya tanpa disedari Fairizal akan kehadirannya di balik pintu.

Malam itu, selesai solat menunaikan solat Istikharah, jiwanya tenang. Fairizal berdoa lama. Dia menyedari perjalanan hidupnya dengan insan itu hampir sama dengan apa yang ditulisnya. Adakah ini suratan ataupun kebetulan. Yang pasti, hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya, apa yang terjadi adalah perancangan dari-Nya.

Fairizal mencapai pena hitamnya, lalu menulis sesuatu..

‘Mashitah,

Diriku telahpun menemui permata itu yang rupa-rupanya kepunyaan dirimu,

Walaupun sinarmu tak dapat kututupi,

Namun. Akan kulindungi sinarmu itu dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan dari Ilahi,

Semoga ikatan ini akan kekal buat selamanya... Amin.’

Wassalam...

Ahmad Fairizal

2.30 pagi (11/11/2008)

TAMAT


...................................................................................................................................................................



Oleh: HASIMAH ISMAIL